Free Register | Forget Password?

Main PageEventTiming ResultPhoto Album

Article

 absurvi • 9 years ago • 2,084 viewed

 ShareShare 



    PEMAIN pasukan Malaysia Red berbangga disamping trofi yang dimenangi ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai, Johor Bahru semalam.



    PASUKAN Malaysia Red terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah, India Safron apabila tunduk 3-14 pada perlawanan akhir polo basikal pada Kejohanan Sukan Polo Basikal Komanwel yang berlangsung di Chattisgarh, India baru-baru ini.

    Meskipun beraksi cemerlang pada peringkat kumpulan apabila menewaskan Sri Lanka 2-0, Maldives (13-0), Nepal (12-0), India Green (9-8) serta menjinakkan satu lagi pasukan dari Malaysia iaitu Malaysia Blue dengan keputusan 9-3 pada separuh akhir, India Dafron ternyata terlalu kebal di gelanggang sendiri sehingga memaksa pasukan Malaysia Red yang diwakili oleh Persatuan Polo Basikal Johor (PPBJ) sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara.

    Bermula garang di 'chukkar' (separuh masa) pertama, gandingan mantap pasukan Malaysia Red yang diketuai ketua pasukan, Ismail Abdul Manan bersama Aidil Shamin Abdul Razak, Mohd. Fazli Senin dan Mohd. Shamsul Fuad Jaini jelas berjaya mengkucar-kacirkan pasukan lawan.

    Begitupun, India Safron yang ternyata lebih berpengalaman dalam sukan polo basikal yang masih asing di Malaysia kemudiannya berjaya menyerap tekanan dalam chukkar seterusnya sebelum akhirnya mengecewakan anak buah Ahmad Survi itu.

    "Meskipun kecewa gagal dinobatkan selaku juara, kami berbangga dengan pencapaian kami yang mampu mara ke perlawanan akhir meskipun sukan polo basikal ini masih asing di negara kita," kata Ahmad semasa ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai, Johor Bahru semalam.

    Turut mengiringi kepulangan kontinjen negara ialah Presiden PPBJ, Ikmal Hisham Rahim dan Setiausaha PPBJ, Norhazamimah Abdul Aziz.

    Kejayaan manis turut dibolot pasukan Malaysia apabila Mohd. Shamsul Fuad muncul penjaring terbanyak kejohanan yang julung kali diadakan itu dengan 12 jaringan.

    Dalam pada itu, Ikmal Hisham semasa ditemui turut berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan skuad negara meskipun polo basikal masih dianggap baru di negara ini.

    Menurutnya, cara permainan dan peraturan polo basikal tidak banyak bezanya berbanding polo berkuda melainkan 'pallad' (pemukul) yang lebih pendek serta menggunakan basikal semasa menyerang dan bertahan.

    "Kami percaya kami mampu menebus kekecewaan kami dalam kejohanan yang sama yang dijadualkan berlangsung di London dua tahun lagi," ujarnya optimis sambil memberitahu PPBJ telah ditubuhkan secara rasmi sejak tahun lepas meskipun telah berlatih sejak 2001.

    Bikeaway.com.my - Copyright © 2013-2024 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved